Tags

, , , , , , , , , , , ,

Satu lagi kisah yang boleh kita ambil iktibar adalah kisah yang berlaku di Mexico 17 tahun yang lalu. Kisah ini benar – benar memberikan kesan yang sangat ketara pada ekonomi Mexico. Krisis yang berlaku adalah Krisis Ekonomi 1994 di Mexico atau lebih dikenali sebagai “Mexican Peso Crisis“.

Dari peristiwa ini, kita dapat lihat bagaimana emas telah melindungi kekayaan akibat kejatuhan Peso Mexico pada Disember 1994. Semuanya bermula apabila kerajaan mengumumkan penurunan nilai matawang peso. Sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat, para pelabur mengeluarkan semua modal mereka dari institusi – institusi pelaburan di Mexico sebelum kejatuhan matawang berlaku. Kebanyakan modal beku di dalam pasaran ekuiti disebabkan nilai matawang jatuh secara mendadak. Matawang peso pula terus mengalami kemerosotan.

Kadar inflasi adalah pada 50% sebelum ia jatuh sehingga 70%. Mereka yang memiliki kad kredit dan juga hutang berada di ambang bankrap akibat kadar faedah yang terlalu tinggi. Pada tahun pertama selepas pengumuman tersebut, harga peso menurun dari 28.5 sen kepada 14 sen (U.S). Pada tahun berikutnya, peso terus mengalami meresotan dan didagangkan dalam lingkungan 10 sen (U.S) sahaja.

Sebaliknya, harga emas meningkat mendadak dari sekitar 1200 peso per auns ke 2500 peso per auns. Ia berkadar songsang dengan kejatuhan peso terhadap dollar US. Pada tahun 1995 pula, harga emas melepasi 3000 peso, kenaikan 2.5 kali daripada harga permulaan. Hanya kepelbagaian portfolio yang bijak dapat melindungi para pelabur daripada krisis kewangan ini. Ini merupakan satu pengajaran penting buat rakyat Mexico. Mungkin sekitar 25 hingga 30 peratus portfolio pelaburan adalah di dalam instrumen emas bagi menampung kerugian dalam matawang peso dan juga di dalam pasaran ekuiti.

Daripada kisah ini, kita dapat lihat matawang yang kita gunakan terdedah dengan pelbagai serangan. Contohnya pengumuman kerajaan untuk menurunkan nilai matawang terhadap matawang lain, lambakan matawang oleh pelabur – pelabur, spekulasi dan lain – lain. Akibat daripada serangan ini, nilai matawang jatuh dan menyebabkan kadar inflasi pula meningkat. Bagi mereka yang tidak mempunyai persediaan awal dari segi kewangan, maka kekayaan yang mereka kumpul dalam bentuk matawang, lebur begitu sahaja dimakan inflasi. Mereka yang berhutang semakin tenat kerana kadar faedah turut meningkat. Beruntunglah bagi mereka yang menukarkan sedikit kekayaan mereka dalam bentuk emas.