Tags

, , , , , , , , , , , , , , ,

Ramai juga yang bertanya pada saya, bilakah masa yang paling sesuai untuk membeli emas? Soalan ini boleh dikategorikan sebagai soalan lazim (FAQ). Apa taknya, ramai yang ingin tahu waktu sesuai tersebut dengan harapan dapat menikmati keuntungan dari kenaikan harga emas kelak. Ini semua terjadi disebabkan sifat semulajadi kita sebagai manusia yang tidak ingin menanggung kerugian. Saya kira, bukan setakat emas sahaja persoalan ini timbul, bahkan ia juga akan diajukan apabila ia melibatkan instrumen pelaburan.

Jawapan yang paling mudah dan senang adalah….

PADA BILA – BILA MASA!!!!

Iya.. Memang jawapan ini seperti lekeh dan tidak serius… Ia seperti main – main dan juga seperti mempermainkan… Sebenarnya.. Itulah jawapan yang paling baik bagi mereka yang baru bermula juga bagi mereka yang sudah pun celik dan berminat untuk menjadikan emas sebagai simpanan. Jawapan sebegini disebabkan oleh trend harga emas yang sentiasa naik. Harganya mungkin jatuh tetapi ia tidak jatuh sehingga paras yang membimbangkan.

Jawapan kedua saya….

Ia bergantung kepada status kita dengan emas. Kita perlu tanya diri sendiri beberapa soalan… Apakah hubungan kita dengan emas? Kita sebagai pelabur atau penyimpan? Sekiranya kita dapat membezakan kedua – duanya.. Kita pasti tahu untuk membuat keputusan pada masa bila kita perlu membeli emas… Sudah tentu antara kedua – duanya ada persamaan. Persamaannya adalah dari segi keuntungan akibat dari kenaikan harga emas itu. Berbeza antara kedua – duanya adalah, tindakan yang diambil akibat dari kenaikan atau kejatuhan harga emas.

Kita sebagai PELABUR.

Matlamat pelaburan mesti jelas

Sudah tentu sebagai pelabur, kita akan melabur pada satu – satu instrumen dengan berbekalkan modal yang ada dengan harapan ia dapat memberikan pulangan pada kadar faedah tertentu pada masa – masa tertentu. Setelah kita meraih faedah itu pada masa yang tertentu, bolehlah kita membelanjakan hasil dari pelaburan itu dengan tidak menggunakan atau mengeluarkan modal asal. Kemudian, kita tunggu semula sehingga masa tertentu untuk menikmati kadar faedah yang sama. Dan proses ini diulang – ulang sehingga kita merasakan tidak perlu lagi melabur dalam instrumen tersebut. Inilah konsep paling mudah dalam pelaburan.

Di dalam pelaburan emas, ia berbeza sekali. Di mana ia tidak menjanjikan pulangan faedah. Tetapi, ia memberikan pulangan peningkatan modal (capital appreciation). Ini disebabkan harga emas yang sentiasa meningkat. Harganya mungkin jatuh, tetapi ia tidak jatuh sehingga tahap yang membimbangkan. Disebabkan itu juga, kita menghadapi kekangan untuk melabur semula dengan modal asal.

Jadual 1 : Harga Emas Pada 8/4/2011 @ 5:35 ptg

Jadual 2 : Harga Emas Pada 15/9/2011 @ 8:20 mlm

Contohnya, pada 8/4/2011 kita membeli emas 20g pada harga RM 3274.00 (Jadual 1). Kemudian, sehingga 15/9/2011 , kita ingin menjual stok emas 20g tadi. Pada tarikh ini, kita boleh jual dengan pada harga RM 3634.00 (Jadual 2). Pada asasnya, kita telah pun memperoleh keuntungan sebanyak RM 360.00 (RM 3634.00 – RM 3274.00) atau mendapat pulangan sehingga lebih kurang 11%. Tetapi, pada tarikh 15/9/2011, harga 20g emas adalah RM 3866.00. Kita tidak boleh lagi membeli stok 20g dengan berbekalkan modal asal iaitu RM 3274.00. Maka di sini, apabila kita ingin membeli semula stok 20g, kita perlu menambah sedikit modal. Di sini kita dapat lihat, konsep asas pelaburan yang kita bincangkan di atas tadi ada sedikit kekangan. Di sini juga kita dapat lihat bagaimana instrumen pelaburan emas ini memberi pulangan kenaikan modal (capital appreciation) iaitu modal RM 3274.00 tadi berkembang menjadi RM 3634.00 akibat kenaikan harga emas.

Walaubagaimana pun, ini bukan alasan untuk kita tidak menjadi pelabur emas. Ada beberapa teknik – teknik tertentu yang perlu digunakan bagi memaksimakan keuntungan dari margin harga emas. Kita akan bincangkan kemudian topik yang berkaitan kelak. Juga sebagai pelabur, kita perlu melengkapkan diri kita dengan ilmu – ilmu berkaitan seperti tentang pasaran emas dunia, faktor – faktor mempengaruhi pasaran emas, analisis harga emas dan lain – lain. Perkara – perkara ini akan menjadi sesuatu yang teknikal apabila kita melibatkan diri sebagai pelabur. Sebagai pelabur juga, kita perlu jelas dengan matlamat kita seperti jangka masa melabur, margin keuntungan atau kerugian yang boleh kita serap, waktu yang sesuai untuk masuk ke dalam pasaran (beli stok) dan waktu yang sesuai untuk keluar dari pasaran (jual stok) dan sebagainya. Jadi, jika hubungan kita dengan emas adalah sebagai pelabur, pendek kata, kita perlu lebih rajin lagi mempersiapkan diri dengan ilmu – ilmu yang berkaitan apabila ia melibatkan masa yang sesuai untuk membeli emas.

Kita sebagai PENYIMPAN

Simpanan untuk hasil lumayan

Apabila hubungan kita dengan emas adalah sebagai penyimpan, jawapan saya yang pertama tadi adalah lebih tepat..

PADA BILA – BILA MASA!!!!

Sebagai penyimpan, sudah tentu kita mempunyai matlamat jangkamasa panjang seperti untuk simpanan hari tua, perbelanjaan menunaikan ibadah haji, perbelanjaan persekolahan anak – anak atau juga perbelanjaan sewaktu kecemasan atau kesemuanya sekali. Pada kebiasaannya juga, sebagai penyimpan, kita sudah pun celik dengan kuasa yang ada pada emas. Kita jarang – jarang sekali untuk mengambil tahu lebih dalam tentang pasaran emas atau sebagainya. Kita tahu bahawa emas mempunyai kuasa sebagai penyimpan nilai. Maka dengan itu, kita tidak perlu memantau harga emas secara terperinci. Apa yang perlu adalah, kita menyiapkan modal yang sepatutnya lantas dengan itu terus menukarkan modal tersebut kepada emas fizikal. Kemudian, kita hanya perlu simpan dan tunaikan semula emas tersebut apabila masa sudah sampai untuk kita membelanjakan simpanan kita. Jadi, menjadi penyimpan jauh lebih mudah dari pelabur. Tetapi, itu juga bukan alasan untuk kita tidak terus mencari ilmu berkaitan emas. Menjadi penyimpan dengan berfikiran seperti pelabur, boleh memaksimakan keuntungan kita.