Tags

, , , , , , , , , , , ,

 Arkib : 18/4/2012

Sindiket tipu emas palsu tumpas

IPOH 17 April – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan melibatkan barangan emas tiruan di daerah ini dengan tertangkapnya tiga suspek dalam serbuan berasingan sejak 2 hingga 8 April lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua suspek berusia antara 55 dan 70 tahun ditahan hasil laporan seorang mangsa yang juga pemilik kedai emas dekat sini, pada 2 April lalu.

Katanya, pemilik kedai emas itu mendakwa didatangi seorang suspek yang menawarkan surat gadai emas menerusi Skim Ar-Rahnu dari sebuah bank tempatan.

“Pengadu bersama suspek ke bank berkenaan untuk menebus barang kemas berupa tujuh biji loket emas bernilai RM32,394.24.

“Selepas barangan itu diserahkan kepada pengadu dan pemeriksaan dibuat dengan memotong salah satu daripada loket, pengadu menyedari bahawa ia merupakan emas tiruan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menggadaikan emas tiruan di bawah Skim Ar-Rahnu dan apabila tamat tempoh gadaian emas tersebut, ia akan dijual kepada pembeli lain.

Katanya, siasatan awal mendapati, dua daripada suspek merupakan bekas pekerja bank tersebut manakala seorang lagi penganggur.

“Hasil tangkapan itu, polis merampas 15 utas rantai tangan dan 15 utas rantai leher yang disyaki tiruan seberat dua kilogram yang dianggarkan bernilai RM360,000,” kata beliau.

Menurutnya, daripada semakan yang dibuat, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah iaitu memalsukan dokumen pada 1985 dan 1986.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya ada individu yang menawarkan barang kemas untuk dijual kerana disyaki sebagai barangan tiruan.

“Justeru itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.

Sumber: Utusan Online