Tags

, , , , ,

20120929-073848.jpg

MANA DUIT KAMI?: Para pelanggan syarikat dagangan emas, Genneva, menunjukkan jongkong emas yang telah dibeli daripada syarikat tersebut.
– Foto THE STRAITS TIMES

28 Sep 2012
Pelanggan Genneva buat laporan polis
Ramai gigit jari lepas syarikat gagal penuhi kontrak untuk beli semula emas yang dijual
Oleh
NORHAIZA HASHIM
SEKUMPULAN pelanggan yang membeli wafer dan jongkong emas daripada syarikat dagangan emas, Genneva Pte Ltd, terpaksa ‘gigit jari’ apabila syarikat itu enggan mengotakan perjanjian dalam kontrak mereka untuk membeli balik emas tersebut dan mengembalikan duit mereka.

Beberapa pelanggan – termasuk mereka yang telah melaburkan sehingga $1 juta – telah pun membuat laporan polis dan menyaman syarikat itu.

Sejak diperkenalkan di sini pada 2008, Genneva telah menarik 10,000 pelanggan di Singapura dan dianggarkan 25 hingga 30 peratus terdiri daripada pelanggan Melayu.

Kunjungan Berita Harian (BH) ke pejabat Genneva di Orchard Towers semalam menunjukkan ramai pelanggan dan ejen-ejen berkumpul untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu. Lebih 200 ejen menghadiri taklimat semalam.

Salah seorang pelanggan Genneva, Cik Marian (bukan nama sebenar), ingin menjual emasnya yang bernilai sebanyak $50,000 pada tarikh yang tertera dalam kontraknya, tetapi syarikat itu enggan menerimanya.

“Saya sudah tanya mereka sebanyak empat kali. Tapi, mereka kata syarikat tidak ada duit. Mereka kasi baucar untuk saya dapatkan duit pada tarikh yang ditetapkan dalam baucar itu. Tapi, apabila saya pergi ke pejabat Genneva pada tarikh tersebut, sekali lagi mereka tidak mengotakan janji mereka,” katanya, dengan nada yang marah.

Beliau telah membuat laporan polis bersama 10 lagi rakannya semalam.

Seorang lagi pembeli yang ditemui telah membeli jongkong emas bernilai $300,000 bersama bapanya.

“Ejen saya kata selepas tempoh tamat, saya boleh jual balik emas itu dan mendapat duit saya sebanyak $300,000. Setakat ini, saya hanya dapat $12,000. Ejen saya memberikan pelbagai alasan dan menyatakan syarikat tidak mempunyai duit untuk membayar saya,” kata beliau.

Ketika dihubungi semalam, jurucakap polis berkata: “Ia tidak wajar bagi kami membuat komen mengenai siasatan polis, jika ada.”

Genneva Pte Ltd telah diletakkan dalam Senarai Amaran Pelabur (IAL) oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kerana tidak mempunyai lesen atau dikawal oleh bank pusat itu.

“MAS amat menggalakkan pelanggan yang mendapatkan khidmat kewangan agar berurusan dengan pihak yang dikawal oleh bank pusat itu sahaja. Jika mereka memilih berurusan dengan pihak yang tidak dikawal oleh MAS, mereka melepaskan perlindungan yang diberikan di bawah undang-undang yang ditadbirkan MAS,” kata jurucakap MAS.

Dibentuk 2008, Genneva beroperasi sebagai sebuah syarikat yang membeli dan menjual emas. Apa yang menarik perhatian pelanggan menyertai skim itu ialah pelanggan mendapat diskaun sebanyak 2 peratus setiap bulan selama tiga bulan dalam kontrak yang amat popular di kalangan pelanggannya di sini.

Diskaun itu akan dibayar oleh Genneva dalam bentuk tunai.

Pada akhir 90 hari, bergantung pada skim yang disertai pelanggan, Genneva akan memberikan pilihan kepada pelanggan menjual balik emas itu kepadanya pada harga asal yang dibayar pelanggan.

Namun, apa yang pelanggan tidak sedar ialah Genneva menjual emas kepada pelanggan pada kadar premium sebanyak 20-30 peratus.

Genneva menjual emas pada harga $96,000 setiap kilo atau $96 setiap gram bagi bulan Ogos. Namun, UOB, yang menyediakan khidmat pelaburan emas, menjual emas pada harga $74,500.